Ahad, 7 November 2010

PETUA DI DAPUR 2


• Mengelakkan Pedih Mata Ketika Mengupas Bawang Untuk mengatasi masalah pedih mata ketika mengupas bawang. Simpan bawang yang hendak digunakan di dalam peti sejuk beberapa jam sebelum digunakan.

Bawang akan lebih mudah dan cepat disiangkan selepas dikeluarkan dari peti sejuk.
atau; pedih mata boleh juga dielakkan dengan cara mengupas bawang di dalam air

• Merangupkan Kentang Goreng
Caranya, setelah dikupas kulit, dibasuh dan dipotong, gaulkan kentang tersebut dengan garam secukupnya sehingga rata. Kemudian masukkan kentang tersebut ke dalam bekas yang berlubang seperti penapis santan dan toskan 1 - 2 jam hingga kentang kering. Selepas itu gorenglah kentang tersebut menggunakan minyak yang banyak di atas api sederhana agar betul-betul rangup. Pasti rangupnya seperti yang dibeli dari kedai makanan segera.

• Melemakkan Masakan Pulut
Untuk menyedapkan pulut yang dimasak. Caranya, rendam pulut semalaman kemudian masak denga air kelapa.

• Menanggalkan Kerak
Caranya, rebus kulit kentang di dalam bekas yang mengandungi kerak tersebut selama beberapa minit. Setelah air panas, kerak tersebut akan tanggal dengan sendirinya.

• Harumkan Bawang Tumis
Bagi menaikkan bau wangi ketika menumis bawang putih pastikan bawang putih itu dicincang dahulu. Untuk bawang merah pula, masukkan sedikit garam ketika menumis. Pasti wangi baunya .

• Hilangkan Hanyir Ikan Keli
Rendamkan ikan keli yang sudah disiang ke dalam air sagu lebih kurang 5 - 10 minit. Selepas itu basuh ikan keli tersebut dengan air bersih. Ikan keli tersebut tidak akan berbau hanyir apabila dimasak.

• Kurangkan Ulat Beras (Bubuk)
Jika beras disimpan lama, tentu banyak bubuk akan ditemui di dalamnya. Untuk mencegahnya ambil daun limau nipis dan masukkan ke dalam beras yang disimpan. Selepas itu alaskan selapis lagi dan taruhkan beras di atasnya. Buat beberapa lapis. Hasilnya beras anda tidak lagi di serang oleh bubuk.

• Menghilangkan Lendir Pada Ubi Keladi
Caranya, kupas ubi keladi dan potonglah mengikut keperluan masakan. Sediakan bekas yang berisi air yang telah dicampurkan dengan satu sudu teh kapur (makan) sirih. Masukkan ubi keladi berkenaan dan basuhlah sehingga lendir-lendir berkurangan. Toskan dan bilas denga air bersih.

• Mengatasi Rasa Pahit Buah Peria
Hiris buah peria mengikut keperluan masakan. Kemudian gaulkan buah peria yang telah dihiris itu dengan garam kasar. Biarkan selama 5 minit. Selepas itu cuci buah peria tersebut beberapa kali dengan air bersih sebelum dimasak. Hasilnya buah peria yang telah dimasak itu tidak akan berasa pahit apabila dimakan.

PETUA DI DAPUR


• Mengekalkan Kesegaran Sayuran Sayuran yang disimpan didalam peti ais beberapa hari akan hilang kesegarannya. Cubalah rendamkan sayuran tadi di dalam air yang dicampurkan dengan sedikit cuka selama beberapa minit dan hasilnya juga akan menghilangkan kekotoran pada sayuran tadi.

Mencuci Kerang Dengan Mudah
Supaya mudah mencuci kerang, masukkan hampas kelapa bersama kerang didalam besen dan gaulkan bersama sedikit air. Tunggu beberapa ketika dan hasilnya kerang tadi akan bersih dan putih.

Jemput-jemput Sentiasa Lembut Bancuh adunan jemput-jemput dengan air suam. Kemudian goreng seperti biasa. Hasilnya jemput-jemput anda akan sentiasa lembut, walaupun setelah ianya sejuk.

• Menghilangkan Pahit Peria
Untuk menghilangkan pahit peria, cuba potong peria dan rendam didalam air berisi garam halus. Setelah lebih kurang 25 minit, toskan dan sedia untuk dimasak.

• Ikan Tidak Melekat Dikuali
Ketika menggoreng ikan, perap ikan bersama asam gelugur. Kemudian goreng asam gelugur hingga hitam diikuti ikan. Hasilnya, ikan tidak melekat lagi.

• Tauhu Tidak Melekat Dikuali
Tauhu akan melekat jika digoreng. Taburkan garam halus pada permukaan atas dan bawah tauhu sebelum digoreng. Hasilnya, tauhu tidak melekat lagi.

• Membersihkan Perut Lembu
Untuk memutihkan perut lembu, rendam dan gaulkannya dengan bancuhan kapur sirih berserta rincikan daun pisang atau daun lalang. Lakukan beberapa ketika sebelum dibilas dengan air bersih.

• Santan Tidak Berbau dan Tahan Lama
Bagi puan yang bekerja atau suri rumah mungkin bermasalah apabila santan diperah terlebih banyak. Untuk memastikan ia tidak berbau dan tahan lama masukkan dua/tiga cili padi kedalam santan dan simpan di dalam peti sejuk, insya-Allah santan tidak berbau dan tahan lama